Adat resam dan budaya kaum Bajau
Suku kaum bajau merupakan kaum pribumi Sabah yang kedua terbesar selepas kaum Kadazan Dusun. Kaum ini kebanyakannya tinggal di kawasan pantai dan bekerja sebagai nelayan di pantai, sungai malah di pantai di kawasan pulau-pulau yang berdekatan dengan penempatan mereka. Kebanyakannya mereka bekerja sebagai petani tepi laut atau tasik dan pengumpul hasil-hasil laut.
Adat perkahwinan
- Penetapan hari perkahwinan hendaklah dielakkan daripada hari rabu dan Ahad. Ini kerana kedua-dua hari ini dianggap kurang baik untuk upacara tersebut. Jika pantang ini tidak dipatuhi, pengantin akan jatuh sakit dan tidak akan mendapat rezeki yang baik.
- Kebiasaannya, hari yang dipilih ialah hari yang ke-14 atau 15 mengikut kalendar Islam, kerana dipercayai ketika itu cahaya bulan terang dan rezeki pengantin itu akan menjadi murah.
- Perkahwinan kaum Bajau bersifat monogami iaitu perkahwinan berlaku antara kaum kerabat atau saudara mara mereka sendiri. Hal ini kerana mereka amat percaya bahawa perkahwinan sesama kaum kerabat sendiri lebih menjamin perkembangan zuriat mereka.
- Dalam masa yang sama, mereka tidak pernah melarang dengan orang luar kerabat mereka, namun mereka lebih cenderung untuk berkahwin dengan kaum kerabat yang jauh sendiri.
- Tetapi mereka tidak boleh mengahwini mereka yang mempunyai ikatan akrab atau muhrim. Jika perkahwinan tersebut berlaku, maka perkahwinan itu dianggap sumbang serta akan mendatangkan sial.
- Majlis perkahwinan Bajau dilangsungkan selama satu hari satu malam. Tetapi pada ketika ini majlis berlangsung dua hari satu malam.
- Pada hari pertama, majlis disambut dengan meriah pada waktu petang dan malam. Sambutan ini disambut secara maglami-lami atau beramai-ramai. Dalam majlis ini kaum kerabat dan tetamu akan berkumpul untuk menjamu selera dan menyaksikan beberapa jenis hiburan yang disediakan oleh pihak perempuan. Dalam memperingati nenek moyang, mereka akan berzikir bersama tetamu lain dan biasanya nasi kunyit bersama lauknya dan kuih panyam disediakan.
- Pada hari kedua, upacara dimulakan dengan pukulan titik diallau, iaitu pukulan tagungguk khas. Biasanya pukulan itu dibuat pada pukul 5 pagi, bagi mengingatkan penduduk setempat akan majlis perkahwinan mereka.
- Setelah bersarapan, kedua-dua pengantin akan dimandikan oleh ahli-ahli agama di rumah masing-masing diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci sebagai doa selamat mereka. Setelah dimandikan, pengantin lelaki akan diarak dengan menaiki kuda ke rumah pengantin perempuan atau ke masjid untuk majlis akad nikah. Setelah itu pengantin lelaki akan didukung oleh dua orang lelaki masuk ke dalam rumah pengantin perempuan atau masjid, di mana akan berlangsungnya majlis akad nikah.
- Selepas berlangsungnya akad nikah, pengantin lelaki akan diberikan sehelai kain selendang dan dipimpin oleh pengapitnya ke pelamin. Dalam tempoh itu, pengantin lelaki diiringi oleh pukulan tagungguk dan nyanyian jam-jam. Apabila rombongan pihak lelaki sudah semakin hampir, pihak perempuan akan menurunkan tirai di hadapan pelamin untuk melindung pengantin perempuan daripada penglihatan pengantin lelaki.
- Beberapa syarat dikenakan kepada pihak lelaki jika ingin melihat pengantin perempuan di sebalik tirai itu. Jika pihak pengantin perempuan menutup pintu, maka pihak lelaki perlulah membayar wang tebus pintu atau kaukaban lawang. Biasanya penagntin perempuan akan duduk di pelamin dan menunggu suaminya di sebalik tiga lapis tirai. Tirai itu perlulah dibuka selapis demi selapis dengan disertai magjam-jam. Setiap tirai hanya akan dibuka sebaik sahaja pengantin lelaki membayar wang tebus sebanyak mana yang patut.
- Setelah tirai yang terakhir dibuka, pengantin lelaki perlulah memutarkan kain selendang yang diberikan kepadanya selepas majlis akad nikah tadi sebanyak tiga pusingan di atas kepala pengantin perempuan dengan ibu jari tangan kanannya. Proses ini dikenali sebagai tutukan iaitu sama dengan proses membatalkan air sembahyang.
- Selepas majlis persandingan, pengantin lelaki akan terus tinggal di rumah pengantin perempuan selama tiga malam. Dalam tempoh itu, ahli-ahli agama akan bergilir-gilir memberikan nasihat tentang rukun berumahtangga, persefahaman suami isteri dan lain-lain nasihat yang dirasakan perlu.
- Setelah tiga malam, ibu bapa pengantin lelaki akan datang dan meminta izin dari besannya untuk menjemput pasangan penantin baru itu berpindah ke rumah mereka.
- Perpindahan itu dikenali sebagai tingkuang. Pasangan pengantin baru itu kemudiannya boleh terus di rumah pengantin lelaki buat selama-lamanya, jika mereka mahu.
Adat kelahiran
- terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat Bajau ketika seseorang wanita itu mengandung, antaranya ialah berpantang, menempah bidan, menyediakan kelapa tua sebagai tanda kelahiran dan melenggang perut.
- Wanita hamil tidak boleh berjalan malam kerana dikhuatiri akan diganggu oleh makhluk halus.
- Wanita hamil tidak boleh memakan semua jenis sotong kerana akan menyukarkan proses kelahiran kelak.
-Wanita hamil tidak boleh meminum atau mandi dengan air hujan yang jatuh dari bumbung kerana dibimbangi tembuni akan terus mati terutama bagi mereka yang mengandung sulung.
-Wanita hamil tidak boleh memarut kelapa dan menyentuh santan kerana dikhuatiri akan menghadapi kesulitan semasa bersalin.
-Wanita hamil juga tidak boleh mengunjungi tempat berlakunya kematian kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lemah dan terkena penyakit yang dikenali sebagai ketimbalunan.
- Bidan dikenali sebagai pengulin atau pandai. Setelah tujuh bulan hamil, wanita berkenaan akan menempah bidan dan satu majlis doa selamat akan diuruskan oleh bidan tersebut. Terdapat barangan tertentu yang perlu dihadiahkan kepada bidan dan mulai hari itu hingga hari ke 44 selepas kelahiran bayi, secara rasminya bidan bertanggungjawab menjaga wanita hamil tersebut.
- Apabila sudah genap tujuh bulan mengandung, suatu tanda kelahiran akan disediakan iaitu sebiji kelapa tua yang baru tumbuh tunasnya dibalut dengan kain putih dan diletakkan ke dalam sebuah pasu tembaga. Kemudian pasu tembaga beserta kandungannya sekali diletakkan di atas talam yang telah diisikan segantang padi. Kadang kala diletakkan seutas rantai emas di atas kelapa tua itu yang akan menjadi milik anak yang akan diahirkan. Talam tersebut akan diletakkan di bahagian kepala tempat tidur orang yang hamil itu sehingga bayinya lahir.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, kelapa tua itu akan ditanam bersama-sama tembuni si ibu sebagai tanda kelahiran bayi yang berkenaan, sementara padi pula akan dimasak untuk menjamu si ibu dan para jemputan. Secara simboliknya, kelapa tua bertunas tersebut melambangkan bayi yang sedang berada dalam kandungan ibunya, sementara padi dan rantai emas pula melambangkan tenaga dan cahaya yang dapat menyuburkan tunas kelapa tersebut. Lazimnya tanda kelahiran ini diadakan untuk menyambut anak pertama walaupun masih boleh diadakan untuk anak-anak berikutnya.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, kelapa tua itu akan ditanam bersama-sama tembuni si ibu sebagai tanda kelahiran bayi yang berkenaan, sementara padi pula akan dimasak untuk menjamu si ibu dan para jemputan. Secara simboliknya, kelapa tua bertunas tersebut melambangkan bayi yang sedang berada dalam kandungan ibunya, sementara padi dan rantai emas pula melambangkan tenaga dan cahaya yang dapat menyuburkan tunas kelapa tersebut. Lazimnya tanda kelahiran ini diadakan untuk menyambut anak pertama walaupun masih boleh diadakan untuk anak-anak berikutnya.
- Wanita Bajau juga perlu melalui upacara melenggang perut atau dikenali sebagai maglenggang di kalangan masyarakat Bajau. Ia diadakan hanya jika seseorang wanita itu mengandung anak pertama dan upacara dijalankan ketika kandungan berusia tujuh bulan
- Bidan akan memotong tali pusat bayi dan setelah itu mengikat pusat bayi dengan benang. Pemotongan tali pusat itu harus disertakan dengan saksinya yang terdiri daripada segantang beras, emas dan lilin yang akan dipasangkan. Bahan-bahan tersebut beserta sedikit wang dan kain putih sepanjang tujuh hasta akan diberi kepada bidan.
- Orang Bajau amat teliti tentang masa kelahiran anak mereka. Bayi yang dilahirkan pada bulan Safar dianggap kurang baik nasibnya kerana bulan Safar dianggap sebagai bulan yang tidak baik. Untuk mengelakkan kecelakaan dari menimpa si bayi, pada masa menyambut Maulud nabi, bayi akan dibawa ke masjid untuk ditimbang. Penimbangan bayi itu bukanlah bertujuan untuk mengetahui berat bayi sebaliknya merupakan satu usaha untuk meminta pertimbangan daripada Tuhan agar tidak diburukkan nasib bayi tersebut. Terdapat barangan tertentu yang digunakan untuk upacara ini, antaranya ialah;
Sebatang penumbuk padi yang dijadikan batang penimbang. Batang penimbang itu akan dibalut dengan tujuh hasta kain putih.
Batu-batu timbang yang terdiri daripada benda-benda berikut; sebekas air, seikat kayu yang sederhana besarnya, seperiuk nasi dan tujuh biji kelapa muda.
Sebatang penumbuk padi yang dijadikan batang penimbang. Batang penimbang itu akan dibalut dengan tujuh hasta kain putih.
Batu-batu timbang yang terdiri daripada benda-benda berikut; sebekas air, seikat kayu yang sederhana besarnya, seperiuk nasi dan tujuh biji kelapa muda.
-Bahagian batang penimbang itu akan diikatkan dengan tali kasar yang disangkutkan pada alang bumbung masjid supaya batang berada dalam keadaan tergantung. Pada satu hujung batang penimbang itu akan dipasangkan ayunan kanak-kanak yang hendak ditimbang sementara pada hujung yang satu lagi akan digantungkan batu-batu timbang. Batu-batu timbang yang terdiri daripada sebekas air, seperiuk nasi dan seikat kayu wajib digunakan. Hanya kelapa muda sahaja yang boleh ditambah atau dikurangkan bilangannya mengikut berat bayi itu. Apabila batu-batu timbang sudah seimbang beratnya dengan berat bayi, batang penimbang serta segala muatannya akan dipusingkan dan kemudian dilepaskan supaya ia berputar pada keadaan asalnya. Dengan itu tamatlah upacara penimbangan dan bayi itu akan digunting rambutnya.
Pantang larang
· Larangan menggunakan pinggan mangkuk yang retak - takut dapat pasangan yang tidak sempurna
· larangan menggunakan cermin pada waktu malam - takut kehilangan seri wajah
· larangan meletakkan tangan di hadapan semasa duduk bersimpuh ketika makan - akan sentiasa menyakiti atau disakiti orang lain
· larangan duduk di tangga - jodoh lambat datang
· larangan makan cili/ lada/ cabai - hati keras, degil dan tidak mudah dinasihati
· larangan ketawa terbahak- bahak - tidak baik untuk anak dara kerana membawa imej yang tidak baik pada pandangan orang
· larangan tidak saling mengadap ketika makan - kelak jika punya masalah, tiada yang membantu
· larangan memotong kuku pada waktu malam - akan kematian ahli keluarga
· larangan membawa bayi keluar pada waktu malam - takut ditimpa sesuatu yang tidak baik seperti jatuh sakit
· larangan memerah santan kelapa ketika haid - makanan cepat basi
· larangan tidur dengan rambut basah - mudah rabun
· larangan menyanyi di dapur - bersuami orang tua
· larangan mengemas tempat makan jika ada yang belum selesai - akan dibiarkan jika dilanda musibah
· larangan menuang air di dapur ( bukan di hadapan tamu ) - untuk mengelakkan sebarang keraguan di hati tetamu
· larangan makan di dalam kuali - muka tiada seri
· barang dapur hendaklah didahulukan ketika berpindah rumah - agar rezeki tidak putus- putus
· anak yatim piatu tidak boleh memakaikan inai untuk pengantin - agar anak yang dilahirkan tidak yatim piatu
· larangan membunuh sebarang haiwan ketika isteri mengandung - elak sebarang keburukan terhadap bayi dan isteri
· larangan keluar rumah sekurang- kurangnya 3 hari untuk pengantin - elak sebarang keburukan berlaku
· larangan makan sisa anak - anak keras kepala, tidak dengar kata
Adat kematian
Adat Balu- Balu
- Dalam masyarakat kaum Bajau di Sabah telah wujud pengkategorian terhadap sesebuah masyarakat. Pengkategorian tersebut adalah kelompok datu, kelompok biasa, dan kelompok hamba. Kelompok ini lebih dikenali sebagai jomo sepu limo (orang 15), jomo sepu (orang 10), jomo pitu (orang 7), dan jomo limo (orang 5). Walaubagai manapun, kelompok orang 5 (sebagai kelompok hamba) telah dinaik taraf kepada kelompok biasa iaitu kelompok orang 7. Dalam hal-hal yang membabitkan kematian, terdapat perbezaan pemberitahuan kematian dalam kelompok ini. Dalam kelompok orang 15, mereka menggunakan paluan gong (adat balu-balu) untuk mengkhabarkan adanya kematian. Hanya kelompok ini sahaja yang dibenarkan memalu gong. Sekiranya terdapat kelompok orang 15, orang 7, atau orang 5 yang memalu gong maka mereka akan dikenakan denda adat yang setimpal dengan kesalahan tersebut.
- Adat balu-balu ini juga lebih dikenali sebagai upacara pemberitahuan kepada orang ramai tentang berlakunya kematian. Dalam upacara balu-balu ini, gong akan dibunyikan. Kaedah pukulan gong pula mempnyai cara yang tersendiri untuk membezakan jantina si mati dan menentukan sama ada si mati adalah kanak-kanan atau dewasa. Paluan gong akan dikenakan sebanyak 11 kali bagi si mati lelaki dewasa, 9 kali bagi si mati dewasa perempuan, budak besar sebanyak 7 kali paluan, dan budak kecil sebanyak 5 kali. Kesemua paluan haruslah dipalu secara berterusan sebanyak tiga kali berturui-turut tanpa henti dengan irama tertentu. Lazimnya, dua orang pemukul gong akan saling berbalas pukulan gong.
Proses Penghantaran dan Pengebumian Jenazah
- Proses penghantaran jenazah ke tanah perkuburan akan dilakukan apabila mayat telah dimandi dan dikafankan. Penghantaran jenazah yang dilakukan akan diiringi oleh ahli keluarga si mati, saudara mara serta sahabat handai. Mengikut adat kematian kaum Bajau, semasa dalam perjalanan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan, paluan balu-balu akan dilakukan bagi menandakan berlakunya kematian. Paluan balu-balu tersebut akan berterusan sehingga sankap-sangkap atau keranda diturunkan. Paluan balu-balu ini akan disertakan dengan nyanyian tradisi iaitu syair orang mati atau dalam bahasa Bajau dikenali sebagai Sair Jomo Matai.
- Syair ini akan dinyanyikan sebagai simbolik untuk mengucapkan selamat tinggal oleh keluarga si mati. Semasa syair tersebut dinyanyikan, acara ‘Pesuk’ turut dijalankan. Acara ‘pesuk’ ini merupakan acara dimana keluarga si mati dan saudara mara akan lalu di bawah keranda tersebut sebanyak tiga kali semasa keranda tersebut diangkat. Hal ini demikian kerana, mengikut kepercayaan masyarakat bajau, perkara ini bertujuan agar keluarga si mati dan saudaranya tidak merindui si mati kerana bagi mereka yang telah pergi tetap pergi dan yang hidup harus meneruskan kehidupan.
- Sebelum proses pengebumian tersebut dijalankan, keluarga si mati dan saudara mara akan meletakkan bunga yang digelar sebagai ‘mayang pinang’ di atas keranda dan juga akan ditaburkan di atas kuburan si mati. Ini adalah sebagai tanda kasih sayang oleh keluarga dan saudara mara kepada si mati. Selepas dikebumikan, bacaan ayat-ayat suci al-Quran akan dibacakan dan akan didirikan kelambu jomo matai yang diperbuat daripada bambu sebagai bingkai dan kain putih sebagai penutup. Hal ini bertujuan untuk melindungi tempat pengebumian si mati dari perkara-perkara yang tidak diingini.
- Bagi masyarakat bajau, upacara pengebumian adalah berbeza mengikut kedudukan seseorang itu. Hal ini dapat dilihat melalui hiasan sangkap-sangkap atau keranda si mati. Sebagai contoh, jika si mati merupakan orang kenamaan maka sangkap-sangkap atau kerandanya akan dihiasi dengan lebih cantik manakala bagi masyarakat biasa kerandanya adalah biasa-biasa sahaja.
Adat Bejogo
- ‘ Bejogo ‘ bermaksud berjaga. Acara berjaga ini dibuat selepas kelahiran anak, sewaktu sakit tenat atau meninggal dunia.
- Bejogo selepas kelahiran pengisiannya adalah dengan bermain daun terup , sakit tenat dengan membaca yasin dan mati pula dengan membaca al quran,
- Tujuan bejogo agar bayi, si sakit tenat dan si mati tidak diganggu oleh balan-balan iaitu sejenis mahluk menyerupai syaitan jadian. Menurut cerita balan-balan ini pada asalnya manusia biasa dan apabila dirasuk maka menjadi mahluk luar biasa , tidak kelihatan dengan mata kasar kecuali bunyinya dan air liurnya menitis seperti bintang-bintang. Balan-balan ini akan membunuh bayi atau si sakit untuk dimakan bersama keluarganya. Balan-balan ini juga disebut sebagai 'Selambadut' . Ia terbang ( kepala dan tali perut sahaja ).
- Bejogo juga dilakukan di kubur si mati . Kubur si mati akan dijaga bagi mencegah balan-balan mengorek semula kubur si mati. Kubur si mati dijaga berdasarkan kedudukan si mati di dalam masyarakatnya. Jika si mati adalah pembesar dan berketurunan Datu , kuburnya akan dijaga 40 hari ( siang dan malam ) . Jika pembesar biasa sahaja kuburnya akan dijaga selama 20 hari manakala orang dewasa biasa selama 10 hari dan kanak-kanak biasa selama 7 hari.
- Berjogo dilakukan untuk menjaga bengkai-bengkaian tersebut. Ahli keluarga bergilir-gilir menjaga atau bejogo bengkaian tadi. Pada malam hari selama tujuh hari tersebut rumah si mati akan dipenuhi oleh ahli keluarga dan penduduk kampung yang berdekatan datang turut serta dalam berjogo ini. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan daripada si mati diambil oleh makhluk lain yang dinamakan Balan-Balan. Selain itu, masyarakat takut binatang seperti kucing datang mendekati bengkaian tadi akan ‘mengejutkan’ si mati dan bangkit dari kubur.
- Sepanjang berjogo ini ahli keluarga akan bergilir-gilir membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk disedekahkan kepada si mati. Menurut cerita orang tua-tua zaman dahulu, apabila balan-balan ini dapat menjelirkan lidahnya kearah bengkai-bengkaian ini, dipercayai mayat si mati tadi telah diambil oleh balan-balan tersebut. Oleh sebab itulah bengkai-bengkaian ini amat dijaga dan tidak dibiarkan begitu saja tanpa seorang wakil. Malah sebilangan mereka sangat mempercayai dan takut akan terkena tulah atau malapetaka sekiranya mereka tidak percaya dengan kepercayaan nenek moyang mereka turun temurun.
Kenduri arwah (mangan bangi), dan adat Duang bajau
- Kenduri arwah dan tahlil adalah amalan yang dilakukan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa diniatkan untuk si mati. Majlis kenduri arwah lebih dikenali dengan masyarakat berkumpul beramai-ramai dan dihidangkan makanan di rumah si mati. Kebiasaannya kenduri arwah ini diadakan sama ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu. Lazimnya, kenduri mangan bangi ini akan diadakan selama tujuh hari tujuh malam. Sepanjang tujuh hari tujuh malam tersebut, kenduri akan dibuat seawal pagi (jam 5 pagi) dan sebelah petang dibuat selewatnya jam 3-5 petang. Selain itu, kenduri yang lebih besar untuk memperingati si mati akan dibuat pada hari ketujuh (dalam kiraan hari keenam), pada hari keempat puluh (dalam kiraan ke-39), hari yang keseratus hari (dalam kiraan 99 hari), dan hari genap setahun (kiraan 354 hari) pemergian si mati.
- Kenduri arwah ini tidak digalakkan dalam islam mengikut mazhab syafie. Selain itu, masyarakat terdekat juga akan datang ke kenduri tersebut. Masyarakat akan datang kerumah keluarga si mati untuk mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut. Dalam pada itu, terdapat juga kenduri-kenduri kecil yang akan dibuat oleh keluarga si mati, iaitu pada hari ke-10, 20, 30, 50, 60, 70, 80, dan 90 hari kematian.
- Dari sudut keluarga si mati pula, mereka akan menghidangkan makanan kepada tetamu yang datang ke rumah tersebut. Hal ini bercanggah dengan sesetengah pihak yang mengikuti mazhab syafie kerana akan menyusahkan dan menambahkan kesedihan keluarga si mati . Walau bagaimanapun, kenduri arwah ini merupakan sesuatu berkaitan dengan agama islam dan masyarakat beragama islam yang percaya bahawa doa-doa boleh menolong si mati semasa dalam alam kematian.
- Masyarakat bajau merupakan masyarakat yang beragama islam. Oleh itu, Kenduri arwah ini dilakukan oleh masyarakat bajau di sabah (sama) kerana mengikuti amalan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka yang beragama islam. Kenduri ini dilakukan mengikut kiraan hari kematian dan dikenali sebagai “bangi” iaitu hari kematian. Kiraan ini adalah pada hari kamatian iaitu hari pertama, hari ketiga, hari kelima, hari ketujuh, hari kesepuluh dan setrusnya 10 hari kiraan selepas kenduri hari kesepuluh sehingga kenduri hari keseratus. Kiraan kematian ini berkaitan dengan “bejogo” iaitu adat yang dilakukan oleh masyarakat bajau yang akan berjaga di kuburan simati sehingga habis “bangi” ke tujuh.
- kenduri juga dikenali sebagai “meseduo” bagi masyarakat bajau dan telah menjadi sebuah adat resam turun temurun. Kenduri arwah ini dilakukan oleh keluarga si mati dan dibantu oleh jiran-jiran dan penduduk kampung yang berkenaan. Kebiasaanya, Masyarakat bajau(sama) mengamalkan keluarga simati yang akan menyediakan makanan untuk tetamu. Hal ini bercanggah dengan islam mengikut imam syafie atau lebih dikenali sebagai mazhab syafi’e . Walau bagaimanapun, sesetengah masyarakat juga akan menyedekahkan makanan kepada keluarga si mati dan sesetengah juga akan membantu keluarga si mati dalam menyediakan dan melakukan kenduri untuk simati. hal ini akan meningkatkan perpaduan bangsa bajau tersebut.
- Penduduk kampung akan dijemput untuk ke majlis kenduri arwah tersebut. Kenduri arwah ini dijalankan oleh penduduk masyarakat bajau mengikut hari kematian. Hari-hari tersebut adalah hari pertama, hari ketiga, hari kelima dan hari ke 7 kematian hari kesepuluh dan 10 hari kiraan selepas hari kesepuluh. Hal ini juga terpesong sedikit dari agama islam kerana agama islam menganggap perbuatan tersebut sebagai bid’ah. Kenduri ini diadakan dengan membaca tahlil dan doa. Pada hari ketujuh kematian iaitu pada kenduri ketujuh arwah kelima puluh dan keseratus, kenduri dilakukan dengan cara yang lebih besar dengan memanggil ramai penduduk kampung.
- Selain itu pada hari ke tujuh ini, masyarakat bajau akan menyediakan “duang” iaitu sebungkus barangan yang kebiasaannya adalah makanan kepada penduduk yang hadir. Duang merupakan sedekah si mati dan ahli keluarga kepada jemputan yang hadir pada sesebuah kenduri. Penyediaan Duang bergantung kepada kemampuan keluarga si mati. Semasa kenduri kematian, Duang terbahagi kepada dua jenis iaitu duang rumah dan duang tampu. Duang rumah disediakan oleh tuan rumah yang mengadakan magan bangi. Makanan bagi duang tampu akan dibawa atau disediakan oleh individu yang turut memberi sedekah kepada sanak-saudara mereka yang meninggal dunia. Penyediaan duang rumah biasanya secara ala kadar sahaja.
- Duang rumah mengandungi bahan-bahan makanan asas seperti nasi dal lauk-pauk, kuih-muih, dan bahan makanan yang difikirkan sesuai berdasarkan kemampuan tuan rumah. Semasa kenduri, masyarakat bajau kebiasaannya akan menghidangkan kuih penjaram dan juga kuih bahulu. kuih ini dihidangkan sebelum bermulanya kenduri. Selepas majlis kenduri tersebut, masyarakat bajau akan menghidangkan tetamu yang datang dengan makanan yang lebih berat seperti nasi dan juga pulut yang juga lebih dikenali sebagai “kalas”. Selain itu, kuih ini juga kadangkala akan dimasukkan ke dalam “duang” tersebut.Kadang-kala terdapat juga kain pelikat, kain sarung, atau sejadah akan ditambah dalam duang.
- Duang tampu pula bersifat agak mewah kerana selalunya individu yang bersedekah akan menyediakan sebakul atau dua bakul duang yang agak besar. Terdapat satu lagi jenis duang yang akan mengetuai kedua-dua jenis duang rumah dan duang tampu tadi. Duang tersebut dikenali sebagai tekok duang. Tekok duang dianggap sebagai kepala atau ketua duang yang akan mendahului semua jenis duang. Tekok duang ini lazimnya disediakan sebanyak dua atau tiga duang. Tekok duang terlebih dahulu harus diserahkan kepada tetamu sebelum duang lain. Tekok duang mengandungi kesemua makanan yang terdapat pada duang-duang yang lain namun tekok duang harus menggandakan semua jenis makanan tersebut. Misalnya, jika dalam duang rumah hanya terdapat satu kuih penyaram, kuih tersebut perlu dimasukkan sebanyak dua bungkus kedalam tekok duang. Demikian juga bagi jenis makanan yang lain. Selepas kenduri, tekok duang perlu diserahkan terlebih dahulu kepada individu yang mengetuai pembacaan Yassin dan membacakan doa tahlil.
- Bagi individu yang bersedekah melalui pemberian duang ini, mereka percaya bahawa duang yang mereka buat akan ‘sampai’ kepada si mati (walaupun si mati telah meninggal dunia bertahun-tahun lamanya). Selain itu, mereka juga percaya duang tersebut akan ‘membantu dan memberi makan kehidupan’ si mati di alam selepas mati kelak. Dalam hal ini, masyarakat bajau tradisi percaya bahawa roh si mati akan menziarahi keluarganya sepanjang tempoh 100 hari kematiannya. Majlis memperingati kematian adalah upacara pengucapan doa-doa dan bertujuan memberi makan atau sedekah kepada ahli-ahli keluarga dan si mati itu sendiri. Situasi ini memperlihatkan kepercayaan masyarakat bajau bahawa mereka percaya si mati akan ‘kembali’ ke rumah untuk mengunjungi keluarganya. Penyediaan duang-duang juga bukan sahaja dibuat semasa upacara mangan bangi tetapi turut dibuat semasa hari-hari tertentu seperti bulan Ramadhan, bulan Syawal atau kenduri-kenduri kesyukuran lain. Walaubagai manapun, duang-duang yang disediakan agak kecil bentuknya dan tidak sebesar atau semewah duang yang disediakan semasa mangan bangi.
Siapakah yg telah menyediakan maklumat ini?Jikalau boleh saya mahu tahu kerana ini berkaitan dengan kerja kursus saya
ReplyDeletePragmatic Play on mobile app for Google Play
ReplyDeleteIn addition to 공주 출장안마 offering 창원 출장샵 new games from renowned studio 사천 출장마사지 studio Pragmatic Play, our live 아산 출장마사지 casino games available for Google Play 논산 출장샵 are available to players in