Adab Resam Dan Budaya Orang Melayu Sarawak

Asal usul melayu sarawak

Menurut orang tua-tua zaman dahulu,orang melayu sarawak asalnya adalah tiga gabungan jenis Melayu dari seluruh kepulauan Nusantara iaitu:


1. Yang berasal dari Sumatera dan dari Semenanjung Tanah Melayu
Orang Melayu yang asal dari Sumatera adalah berasal dari keturunan Datuk Merpati Jepang yang merupakan ketua bagi kaum Melayu yang tinggal di sepanjang pesisir Sungai Sarawak. Orang melayu sarawak mempercayai bahawa Datuk Merpati Jepang berasal dari Keturunan Majapahit.


2. Yang berasal dari Brunei Darussalam
Pada zaman dahulu sarawak dipercayai pernah berada di bawah jajahan Brunei. Jadi kebanyakan orang Melayu di Sarawak yang banyak di daerah Miri dan Kuching menggunakan loghat yang lebih kurang sama, berbanding dengan orang Melayu sarawak di Saribas, Sri Aman.

3. Yang asalnya Iban tapi bertukar cara hidup seperti orang Melayu setelah memeluk agama Islam
Orang Melayu yang berasal dari Saribas (termasuk kawasan yang sewaktu dengannya seperti Betong, Beladin, Meludam ) sidak percayak sidak merupakan pengikut mun sik keturunan Temenggong Kadir yang berasal dari Brunei. Mereka mempercayai mereka merupakan pengikut keturunan Temenggong Kadir yang juga berasal dari Brunei.

Adat perkahwinan orang melayu sarawak

 Perkahwinan

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan masyarakat Melayu di Semenanjung. Ia merangkumi adat merasi, merisik dan majlis perkahwinan.

Sebelum Perkahwinan

Merasi
Apabila seseorang pemuda berkeinginan untuk berkahwin, dia akan meminta ibu bapa untuk mencari pasangan untuknya. Ibu bapa pula akan menyerahkan tugas kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai sebagai menantu mereka. Pencari jodoh akan menjadi perantara bagi keluarga lelaki dan akan memberikan pendapatnya tentang seseorang gadis itu sama ada sesuai atau tidak.

Ngangin
Selepas merasi, wakil pihak lelaki akan membuat pertanyaan secara formal kepada keluarga pihak perempuan (kerisik kerimun) sama ada perempuan itu sudah berpunya ataupun tidak. Pihak perempuan akan meminta tempoh untuk membuat persetujuan.

Bertekul (Merisik)
Bertekul membawa makna yang sama dengan merisik dalam masyarakat Melayu sebelum majlis bertunang diadakan. Ia bergantung kepada kesediaan bakal pengantin untuk ditunangkan. Semasa adat bertekul ini, hantaran wang atau barang kemas seperti cincin emas atau berlian akan diberi kepada si gadis yang menandakan acara pertunangan akan diadakan (mereya).

Mereya ( Bertunang )
Semasa upacara pertunangan dilangsungkan, hantaran akan diberi oleh pihak lelaki melalui satu rombongan yang terdiri daripada sekumpulan ahli keluarga pihak lelaki. Antara hantaran yang diberi adalah duit, cincin tunang, persalinan, kasut, beg tangan dan lain-lain. Pihak perempuan akan membalas pemberian pihak lelaki. Pada kebiasaannya, hantaran pihak perempuan lebih banyak daripada pihak lelaki. Sekiranya terdapat saudara perempuan yang lebih tua (kakak) yang belum berkahwin (langkah batang), pihak lelaki mesti memberikan sebentuk cincin emas kepadanya.

Semasa Perkahwinan

Nikah

(A) Persediaan

Persediaan bagi majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama. Ia termasuk persediaan menempah kad jemputan, mencari mak andam dan sebagainya. Bagi majlis perkahwinan, mak andam adalah antara orang yang penting dalam menghias pengantin dan persediaan pelamin.

Dalam masyarakat Melayu Sarawak, upacara yang melibatkan agama adalah acara akad nikah, sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar, berlulut dan makan nasi temuan.

Bergendang adalah acara keraian secara beramai-ramai yang mengambil masa selama tujuh hari tujuh malam. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding. Apabila akad nikah telah disempurnakan, pihak perempuan secara sah telah menjadi isteri kepada lelaki tersebut.

(B) Jenis-jenis nikah

Nikah benar
Perkahwinan yang mengikut lunas-lunas Islam atau mengikut adat seperti merisik dan bertunang dan ianya direstui oleh kedua-dua belah pihak.

Nikah salah
Berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka akan dipaksa untuk berkahwin. Upacara perkahwinan akan dijalankan dengan ringkas dan sederhana.

Nyerah diri
Berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Ianya melibatkan perempuan dari golongan berada dan lelaki yang tidak berkemampuan. Mereka akan dinikahkan secara sederhana dan perbuatan ini akan memalukan keluarga perempuan.

Ngekot
Berlaku apabila perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki dan mereka akan dikahwinkan. Ini bukan kerana masalah yang melibatkan wang tetapi kerana keluarga perempuan tidak merestui atau menerima pilihan anaknya.

Majlis Perkahwinan/Persandingan

Pada waktu malam hari, iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan, upacara menepung tawar (berlulut) pengantin diadakan. Upacara berlulut ini juga adakalanya akan diikuti dengan upacara berpacar (berinai). Acara ini dimeriahkan lagi dengan acara pencak silat, gendang Melayu dan andai-andai atau tandak. Pengantin juga akan dimandikan oleh mak andam dalam acara mandi perantan yang diakhiri dengan berwudhu’.

Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kerana dikhuatiri akan hilang seri pengantin. Antara pakaian persandingan pengantin perempuan yang biasanya dipakai adalah kebaya songket, gaun pengantin yang diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas dan Gajah Holen iaitu pakaian tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki pula biasanya akan mengenakan persalinan seperti seorang pahlawan atau pakaian haji (jubah putih atau hitam dan serban).

Sebelum rombongan lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, pihak pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang (tikar ngambik pengantin) yang dibalut dengan tudung keringkam yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki.

Pengantin lelaki akan diarak dengan menggunakan kereta atau jong yang akan dimulai dengan membaca selawat sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan hadrah. Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu.

Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah. Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga). Ianya bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar dilakukan dengan diiringi oleh paluan hadrah. Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali.

Pada sebelah petang atau malam, makan nasi temuan diadakan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Selepas Perkahwinan

Pada kebiasaannya, selepas tujuh hari majlis perkahwinan berlangsung, adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini, ibu mentua akan menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraannya kerana mendapat menantu perempuan yang baru.

Adat kematian

Pengenalan

Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang hidup. Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah.

Semasa Kematian

Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampung-kampung misalnya, pengumuman akan dibuat di masjid oleh tok imam.

Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar.

Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat. Mayat perempuan akan dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan dan begitulah sebaliknya. Namun begitu mereka yang paling baik memandikan mayat ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri.

Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.

Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini.

Semasa Pengebumian

Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan.

Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam.

Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan ikatan di kepala.

Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua batang batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam. Selepas talkin dan doa selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .

Selepas Kematian

Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.

Perayaan orang melayu sarawak

 Perayaan dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan perayaan masyarakat Melayu di Semenanjung. Orang melayu yang beragama islam akan menyambut dua perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri serta Hari Raya Aidiladha ( Hari Raya Korban).

Agama dan kepercayaan

-Mereka berpegang kepada  ajaran Islam.
·Agama ini membentuk ciri-ciri perkampungan mereka seperti bersatu padu, bertatasusila, bertanggungjawabterhadap kebajikan seluruh komuniti dan sebagainya.
-Terdapat masjid yang menjadi pusat segala kegiatan keagamaan , selain bersembahyang.
-Madrasah turut berperanan sebagai pusat kegiatan Islam selain masjid.

KEPERCAYAAN
-Masyarakat Melayu juga percaya kepada pantang larang tertentu.
-Antara contohnya :
1. Anak gadis tidak boleh menyanyi di dapur kerana bimbang akan bersuamikan orang tua.
2. Wanita mengandung ditegah keluar rumah pada waktu senja kerana bimbang anak yang dikandung akan hilang diambil makhluk-makhluk ghaib.
3. Apabila ingin masuk ke dalam hutan, sama ada untuk mencari hasil hutan, berburu dan sebagainya. Akan diambil sedikit tanah dan diletakkan di dahi supaya tidak ‘diganggu’ oleh kuasa jahat atau binatang-binatang apabila berada di dalam hutan. Petua ini disertakan dengan memberi salam, selawat ke atas nabi Muhammad dan bacaan alFatihah.
4. Amalan meletakkan daun di telinga perlu dilakukan apabila terdapatnya hujan panas. Menurut golongan ini, apabila daun diletakkan di telinga, dipercayai makhluk halus tidak akan mengganggu mereka kerana barangsiapa yang meletakkan rumput ditelinga akan kelihatan seperti semak samun yang menghijau.
5. Terdapat juga keluarga ditegah menanam ciku kerana akan menyebabkan kematian ahli keluarganya
6. Tidak digalakkan bangun tidur apabila matahari sudah meninggi kerana menurut kepercayaan orang tua, wanita itu akan cepat tua dari usianya.
*Pantang larang ini diamalkan bertujuan memelihara keharmonian kaum dan kampung seluruhnya

Comments

Popular posts from this blog

Adat Resam Dan Budaya Kaum Iban Di Sarawak

Adat resam dan budaya kaum Kadazan dusun di Sabah

Adat Resam dan Budaya Kaum Bidayuh