Adat Resam Dan Budaya Kaum Melanau Di Sarawak

Asal usul orang melanau

Bagi sebahagian besar penduduk negeri Sarawak, 'Melanau' adalah satu bangsa yang sama seperti bangsa Iban, Melayu, Cina dan sebagainya. Ramai yang tidak mengetahui asal-usul dan makna perkataan 'Melanau'.
Kira-kira setengah abad yang lalu, semasa Daerah Bintulu masih dalam jagaan Kerajaan Kesultanan Brunei, kerap kali Baginda Sultan datang ke Bintulu untuk melihat keadaan daerah ini serta memungut hasil daripada penduduknya. Pada suatu hari, sedang sebuah perahu kerajaan Brunei belayar menuju ke Kuala Bintulu, tiba-tiba bertembunglah perahu itu dengan beberapa buah perahu yang menuju ke destinasi yang sama. Nakhoda pun bertanya dengan seorang kelasinya, "Perahu siapakah yang banyak di hadapan kita?" Jawab kelasi itu, "Perahu orang memanau, Datuk." Sari sehari ke sehari perkataan 'memanau' ini dengan tidak disedari oleh sesiapa bertukar menjadi 'Melanau'.
'Panau', begitulah asal perkataan yang sebenar dalam dialek Bintulu yang mana bererti salah satu pekerjaan yang boleh didapati dalam daerah Bintulu pada masa ini. Pekerjaannya ialah menangkap ikan duai, ikan jamah dan sebagainya. Pekerjaan ini dilakukan oleh enam hingga sepuluh orang serta lengkap dengan perkarangan yang dinamakan "Idus" dalam dialek Bintulu serta perahu yang besar sebab orang yang bekerja 'panau' harus pergi ke tengah laut sejauh enam atau tujuh batu. Daun-daun 'mulong' dijadikan umpan. Di tengah-tengah laut inilah kadang-kadang terjadi ribut yang kencang dan gelombang besar yang datang dengan tiba-tiba. Sekiranya mereka memakai perahu yang kecil sudah tentu mereka karam dan boleh jadi nyawa mereka juga mungkin terancam.
Kiranya saudara berasal dari tempat yang penduduknya orang 'Melanau', janganlah berkecil hati apabila dipanggil orang 'Melanau' kerana ia bukanlah merendah martabat, pangkat dan bangsa. Ianya adalah semata-mata satu pekerjaan yang dipusakai oleh datuk-nenek moyang kita. Andaian lain tentang asal nama Melanau ialah kaitannya dengan nama 'Meranau' (Maranao) atau 'Mindanau' (Mindanao). 'Maranau' atau 'Marinau' ialah nama suku kaum di Mindanao Tengah (lanun) yang sering menyerang kawasan persisiran Sarawak yang didiami orang Melanau sekarang.

Adat perkahwinan

Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang sangat diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunaeng dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.

>> Merisik

Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status sosial yang sama dikenali dengan sama gara. Perkahwinan antara pasangan yang berlainan status sosialnya dikenali sebagai sida adat. Wakil pihak lelaki mengunjungi rumah keluarga perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan memastikan status sosial keluarga perempuan dan untuk menentukan sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum. Sekiranya gadis itu belum berpunya, ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun tidak serta mas kahwinnya.

>> Meminang

Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu beberapa orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan barang hantaran peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Dengan penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki dan diterima oleh wakil keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua pihak hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika persetujuan dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak perempuan yang memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan kepada pihak lelaki tetapi jika pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang itu menjadi milik pihak perempuan.

>> Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis 'peramas' iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk rnajlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga', 'adat mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.

Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dan perempuan yang lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas pelamin untuk disaksikan oleh para jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersama-sama rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan 'adat pahe' kepada pengantin perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin pe-rempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu.

Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.

Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. Semasa ja-muan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara 'begendang', iaitu tari-menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara mem-bebaskan mereka daripada pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang ke laut segala bala atau bencana yang mung-kin mengancam pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.

>>> Peraturan Dalam Perkahwinan

Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah:

· Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan isteri.
· Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut isteri sakit atau memulas.
· Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.
· Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.

Adat kematian

Upacara kematian merupakan satu upacara yang penting mengikut kepercayaan masyarakat Melanau. Kematian perlu diuruskan dengan sebaik mungkin dengan mengikuti adat-adat tertentu. Masyarakat Melanau juga percaya jika seseorang itu meninggal dunia, si mati perlu dibantu dalam perjalanannya menuju ke akhirat atau dipanggil likow matai. Bantuan ini adalah dari segi mengadakan majlis berkabung, kenduri dan sebagainya.

Semasa kematian

Apabila berlaku kematian, mayat tersebut akan dimandikan terlebih dahulu. Ini akan dilakukan oleh A-beri patai atau ahli keluarga terdekat. Seterusnya mayat dipakai dengan pakaian yang cantik beserta dengan hiasan seperti manik dan barang-barang kemas. Bagi mayat wanita, kain Sebunong iaitu kain yang diterima sebagai hadiah perkahwinan akan diletakkan bersama-sama.Jari kaki mayat akan diikat kepada badan dengan kain manakala kepalanya ditudung dengan kain yang diikat di bawah dagu. Mayat akan diletakkan di atas pakat iaitu tempat meletak mayat yang diperbuat daripada papan dan dahan rumbia. Tempat ini pula akan dilapis dengan tikar bemban dan dilapis bahagian atas dengan kain selimut. Mayat juga akan dialas dengan beberapa helai sarung dan baju kepunyaannya. Kain Lugi' seterusnya diletakkan di atas mayat tersebut. Selehai kelambu akan dipasang sebagai melindungi mayat.

Pengebumian

Mayat akan disimpan di dalam rumah selama tiga hari sebelum dikebumikan. Terdapat juga ahli keluarga yang menyimpan mayat selama seminggu. Upacara pengebumian akan disertai oleh semua ahli keluarga dan tukang tangis iaitu terdiri daripada kaum perempuan dikehendaki menangisi kematian tersebut dengan cara meratap dengan suara yang nyaring. Sebuah tilam, lazimnya yang digunakan si mati semasa hidupnya akan dimasukkan ke dalam keranda. Dua helai kain Lugi' yang diletakkan di atas mayat tadi akan di ambil untuk digunakan dalam upacara platow dan sehelai lagi di lapiskan di keranda si mati. Bendera mengikut taraf atau bangsa si mati akan dikibarkan semasa keranda dibawa untuk pengebumian. Selepas sampai ke tanah perkuburan, keranda dibuka dan ikatan pada badan mayat dibuka. Serterusnya, keranda ditutup semula lalu ditanam. Pakaian si mati akan diletakkan di atas kubur dan selama tiga hari berturut-turut. Lilin akan dinyalakan sebagai menerangi perjalanan roh si mati ke akhirat.

Selepas kematian

Masyarakat Melanau mengikuti beberapa pantang larang selepas ahli keluarga mereka meninggal dunia. Tiga hari selepas pengebumian, keluarga si mati akan mematuhi pakai bukeang, iaitu tempoh tujuh hari, mereka dilarang keluar rumah dan melawat orang lain. Peligin adalah saudara mara yang datang menziarahi. Mereka perlu tidur di rumah tersebut selama tiga hari berturut-turut. Peligin akan berjaga sehingga pagi sambil berbual-bual dan bermain tataw atau teka-teki di rumah keluarga si mati, bertujuan untuk menghibur keluarga tersebut. Mengikut kepercayaannya, masyarakat Melanau dahulu kala akan mengadakan upacara pestow iaitu nyanyian yang berkaitan dengan kematian dan kelahiran. Tempoh nyanyian berbeza mengikut jantina si mati, iaitu tujuh hari untuk lelaki dan lima hari untuk wanita.

Upacara piyup dan platow akan diadakan sebagai memberi hantaran kepada roh si mati. Upacara piyup merupakan upacara menyabung ayam yang bertujuan meningkatkan martabat si mati semasa di akhirat. Upacara ini dilakukan selepas tujuh hari si mati dikebumikan. Rombongan akan menuju ke kubur dengan membawa kuih muih untuk diberi kepada si mati. Selepas balik setiap ahli rombongan perlu mandi dan jamuan makan akan diadakan. Selepas itu upacara menyabung ayam akan dijalankan dan ketika itu kuih muih akan diberi kepada ahli rombongan tadi. Sebagai menandakan tamatnya uapcara tersebut, kain Lugi' akan diberi kepada ahli rombongan.

Selain upacara-upacara di atas, masyarakat Melanau juga perlu menjalani tempoh berkabung atau maulid sebagai menghormati si mati. Ia memakan masa selama dua belas hingga lima belas bulan. Sepanjang tempoh maulid, ahli keluarga perlu memakai baju serba hitam dan terindak iaitu topi untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

Agama dan kepercayaaan orang melanau

AGAMA
-Pada asalnya mereka merupakan pagan ( tidak mempunyai pegangan agama)
· Menurut Kamus Dewan,’pagan’ bermaksud orang yang tidak percaya pada sebarang agama utama seperti Islam, Kristian, Yahudi dan sebagainya.

-Orang Melanau percaya hantu tertentu menyebabkan penyakit.
-Hantu yang menyebabkan sakit perut dan kejang, hantu langit membawa sakit kepala dan demam, hantu gurun mendatangkan bengkak kaki dan lenguh sendi tangan.
-Tetapi ,ekoran pemerintahan Kesultanan Brunei dan kemudian keluarga Brooke, ramai antara mereka beralih kepada agama Islam dan Kristian.

KEPERCAYAAN
-Masyarakat Malanau mempunyai kepercayaan terhadap kuasa ghaib dan kuasa luar biasa sebelum memeluk Islam.
-Mereka percaya dunia mempunyai 3 lapisan yang terdapat unsur baik dan jahat,iaitu
· Atas
· Pertengahan
· Bawah
-Kuasa-kuasa ghaib yang menjaga ketiga-tiga lapisan ini tidak boleh diganggu kerana gangguan terhadap mereka boleh menyebabkan masyarakat Melanau ditimpa penyakit atau kesusahan.
-Makhluk-makhluk halus ini dikenali sebagai ipok , amow , tow , dan during.
-Khidmat dukun atau bomoh digunakan sekiranya makhluk halus marah untuk memujuknya.
-Namun, kepercayaan terhadap kuasa halus kian berkurangan ekoran pemodenan dan anutan Islam.

Perayaan kaum melanau

Kaul Melanau atau pesta Melanau adalah hari kebesaran dan perayaan yang dirayakan oleh orang Melanau di Sarawak. Ia bertujuan menghargai pelbagai jenis semangat, seperti semangat laut, tanah, hutan, dan kebun mereka.Ia dirayakan pada akhir Mac atau awal April setiap tahun.Asal usul perayaan ini dikatakan berbalik pada berkurun dahulu, di mana mereka mempercayai kepercayaan animisme.

            Perayaan ini disambut dengan meriah oleh orang Melanau di sepanjang persisiran pantai Sarawak. Tibou, iaitu buaian setinggi 20 kaki adalah puncak perayaan ini.Pemuda-pemuda akan melompat dari buluh bengkok yang panjang dan akan menangkap tali berayun yang tinggi. Sehingga tujuh atau lapan orang akan bergayut di buaian gergasi ini. Buaian ini akan berbuai-buai di tepi pantai.

            Kaul ini juga bukan sahaja diraikan dengan buaian gergasi. Ia merupakan pesta warna-warni yang diserikan dengan bot-bot berhias, sukan pantai, dan makanan-makanan Melanau yang enak. Kebiasaannya pada musim monsun, kuala sungai akan ditutup, dengan tiada seorang pun akan dibenarkan keluar masuk. Semua masyarakat Melanau akan menjalani upacara menyucikan diri.

            Kaul dimulakan dengan bot-bot berhias berlayar dengan membawa ‘seraheng’ iaitu bakul yang diperbuat daripada buluh. Sementara itu ‘bapa Kaul’ atau ketua perayaan akan menjamu semangat dengan jampi dan jamuan. Selain itu, terdapat juga permainan pantai, pertunjukan seni mempertahankan diri, tarian tradisional Melanau dan jamuan makan.

            Setelah matahari terbenam, pesta disambung di rumah-rumah. Mereka akan mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai sebagai tanda muhibbah.’ Sago’ iaitu sagu yang dimasak dengan pelbagai cara merupakan jjuadah yang paling istimewa dalam perayaan Kaul ini. Tambahan pula, Orang Melanau sememangnya terkenal sebagai penebang sagu yang mahir di Sarawak.

            Walaupun Kaul Melanau ini tidak begitu popular dikalangan orang luar, tetapi masyarakat Melanau merayakannya dengan begitu meriah selama seminggu.

Comments

  1. baik.isi kandungan yang senang difahami oleh semua orang

    ReplyDelete
  2. Sangat memuaskan dengan gaya penceritaan yang santai dan mudah difahami. Syabas !

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas informasinya... best !!!!!!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Adat Resam Dan Budaya Kaum Iban Di Sarawak

Adat resam dan budaya kaum Kadazan dusun di Sabah

Adat Resam dan Budaya Kaum Bidayuh