Adat Resam dan Budaya Kaum Bidayuh
ASAL USUL KAUM BIDAYUH
Dalam bahasa Bidayuh, ‘Bi’ bermaksud ‘orang’ dan ‘Dayuh’ bermaksud ‘Darat’. Oleh itu, Bidayuh bermaksud ‘Orang Darat’. Bidayuh dikenali sebagai Dayak Darat oleh orang Eropah pada masa dahulu untuk membezakan mereka daripada masyarakat Iban (Dayak Laut). Bagi Dayak Laut, perkataan ‘Laut’ digunakan disebabkan mereka sudah pandai menggunakan perahu walapun tinggal di pedalaman. Tidak seperti orang Bidayuh, mereka tiada kemahiran menggunakan perahu semasa kedatangan orang Eropah.
l Adat perkahwinan
Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan menikmati hak sebagai anggota Biik atau Ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas penceraian ialah satu perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Masyarakat Bidayuh juga melarang perkahwinan antara sepupu.
Kumpulan seperti Dayak Selako melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota kaum yang pernah menjadi musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan sumpah. Namun larangan tersebut dimansuhkan kerana sudah berlaku perkahwinan yang pertama antara datuk nenek mereka dengan keturunan bekas musuh mereka. Dalam kalangan kumpulan Dayak Bukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar. Lelaki dan perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain sebelum mereka berkahwin.
1. Merisik
Dalam masyarakat ini, tidak ada upacara merisik. Perkahwinan biasa berlaku apabila seseorang sudah cukup dewasa dan memilih pasangan hidup. Masyarakat Bidayuh bersikap terbuka terhadap pilihan anak-anak mereka kecuali perkahwinan yang terlarang. Dalam kumpulan Bukar-Sadong dan kumpulan Selako, mereka dibenarkan untuk memilih pasangan yang disukainya tanpa mengira asal kaum.
2. Meminang
Cara perkahwinan dilakukan berbeza mengikut kumpulan. Dalam kumpulan seperti Selako, Jagoi dan Lara, perkahwinan boleh didahului dengan pertunangan. Pertunangan ditandai dengan pertukaran cincin antara kedua-dua belah pihak. Andai kata pasangan itu merasakan mereka secocok, perkahwinan boleh dilangsungkan kemudian.
3. Bertunang
Peristiwa perkahwinan berhubung rapat dengan menuai padi. Lebih baik hasil yang diperoleh, lebih banyak perkahwinan dapat dilangsungkan. Ini adalah kerana majlis pertunangan dan perkahwinan melibatkan majlis kenduri yang besar dan mewah terutama bagi anak sulung lelaki atau anak tunggal. Sekiranya mereka gagal mengadakan kenduri pertunangan dan perkahwinan, orang ramai akan mencemuh pengantin lelaki. Kerana itulah apabila hasil padi berkurangan, pertunangan atau perkahwinan juga akan berkurangan.
Usia minimum untuk bertunang bagi anak perempuan adalah pada masa lampau ialah 16 tahun manakala bagi anak lelaki ialah 18 tahun. Selepas memilih bakal tunang dan isterinya, lelaki itu akan melantik seorang perantaraan perempuan. Perantara perempuan tersebut akan menghantar tepak sirih atau kapur tunang atau sebentuk cincin kepada perempuan berkenaan di samping untuk mendapatkan pandangan pihak keluarga perempuan mengenai perkahwinan tersebut.
4. Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Dalam masyarakat Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas berkahwin bergantung pada banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi pasangan yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama keluarganya dan begitulah sebaliknya. Dalam keadaan perkahwinan suami isteri yang sudah stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri.
Kumpulan Dayak Selako melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa' melalui amalan yang dikenali sebagai 'batangkap'. Ini merupakan amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap dilihat berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung supaya tindakan dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju untuk berkahwin setelah dibicarakan oleh pemimpin serta penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai suami isteri boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda atas kesalahan mereka telah dijelaskan. Amalan batangkap dilakukan atas pasangan yang menghadapi tentangan daripada ibu bapa.
Satu lagi cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan 'nyagam', apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih untuk berkahwin cara demikian ialah seorang duda atau balu.
Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako, Jagoi dan Lara ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan atau dikenal sebagai picara dalam kalangan masyarakat Selako untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.
l Adat kematian
1. Pantang Larang Sewaktu Kematian
Mengikut kepercayaan kaum Bidayuh, adat kematian diadaptasi daripada cerita 2 beradik yang bernama Rijong dan Buwah. Di dalam ceritera dua beradik ini dikatakan telah mengajar masyarakat Bidayuh untuk meratap setiap kali berlakunya kematian. Tujuannya adalah untuk memanggil roh-roh saudara terdekat yang telah pergi dahulu bagi membantu dan menunjukkan jalan kepada rohnya ke “Sidanah”.
“Sidanah” mengikut kepercayaan masyarakat Bidayuh merupakan tempat untuk roh-roh orang dewasa menunggu sebelum dibenarkan masuk ke “Sibayan”. Adalah dipercayai setiap roh harus menunggu selama lebih kurang 4 tahun selepas kematiannya untuk ke “Sibayan” iaitu syurga mengikut kepercayaan mereka.
Maka oleh kerana itulah sekiranya berlaku kematian maka akan ada waktu “penyembuhan” yang mana pengunjung luar tidak dibenarkan memasuki perkampungan masyarakat Bidayuh selama 7 malam berturut-turut. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada roh jahat mengikuti jejak pengunjung sehingga boleh mendatangkan kerasukan dan sebagainya.
Pada ketika inilah beberapa peraturan harus dipatuhi atau jika dilanggar akan dikenakan denda. Kebiasaannya warga perkampungan Bidayuh akan meletakkan tanda bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk tidak datang sepanjang waktu berpantang atau “Peris” di dalam bahasa Bidayuh.
Suatu ketika dahulu dikatakan masyarakat Bidayuh akan mengadakan upacara gawai sepanjang waktu berkabung yang mana ianya bertujuan untuk memperingati roh dan dikala itulah beberapa persembahan makanan akan disajikan kepada roh si mati. Ianya dilakukan bagi menghibur roh si mati agar tidak bersedih meninggalkan keluarga yang masih hidup selain daripada memohon untuk diampunkan dosanya.
Namun sejajar dengan kedatangan agama kristianiti yang dianuti oleh rata-rata masyarakat Bidayuh Sarawak sekarang, segala bentuk pemujaan seperti ini sudah lama ditinggalkan sebaliknya upacara sembahyang mengikut lunas-lunas agama Kristian pula menggantikannya.
l Perayaan kaum bidayuh
Kaum bidayuh juga menyambut hari gawai sama seperti kaum iban, dimana hari gawai disambut setahun sekali pada 1 atau 2 Jun. Perayaan ini disambut untuk menunjukkan bahawa berakhirnya musim menuai padi.
l Agama dan kepercayaan
Zaman dahulu, masyarakat bidayuh juga turut percaya terhadap kepercayaan animisme tetapi pada masa kini, rata-rata masyarakat Bidayuh Sarawak sekarang menganuti agama kristian, segala bentuk pemujaan sudah lama ditinggalkan sebaliknya upacara sembahyang mengikut lunas-lunas agama Kristian pula menggantikannya.
Perkembangan kaum Bidayuh ada kh?
ReplyDelete